Tuesday 5 August 2014

Denggi Pembunuh dalam diam

DEMAM denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa sejak beberapa tahun lalu. Peningkatan mendadak jangkitan virus denggi bukan hanya berlaku di negara ini tetapi di seluruh dunia.
Penyakit yang boleh membawa maut itu kini merupakan fenomena global. Kalau dahulu, serangan virus denggi ini hanya berlaku di negara beriklim tropika dan subtropika tetapi ia sekarang merebak ke negara-negara yang bukan beriklim sebegitu.
Peningkatan mendadak kes demam denggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dikaitkan dengan perubahan iklim di seluruh dunia yang menyebabkan proses pembiakan dan kitaran hidup nyamuk aedes menjadi lebih cepat.
Serangan penyakit demam denggi dikesan berlaku sejak awal abad ke-18 lagi. Sehingga ini, ia bukan sahaja gagal dihapuskan atau dikurangkan tetapi meningkat dengan begitu mendadak sejak kebelakangan ini walaupun banyak langkah pencegahan telah diambil pihak berkuasa termasuk menggunakan kaedah fogging atau semburan kabus.
Lebih membimbangkan, virus denggi yang bermutasi mempunyai strain baharu yang boleh berjangkit dengan kesan yang lebih teruk terutamanya terhadap bekas pesakit demam denggi.
Pada masa ini, manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi. Penyakit ini tersebar kepada manusia dalam tempoh lapan hingga 12 hari selepas gigitan nyamuk aedes pembawa virus denggi.
Pancawarna minggu ini melihat kepada permasalahan sebenar penyakit ini serta pelbagai aspek lain termasuk penemuan baharu dalam dunia perubatan bagi mengubati penyakit berbahaya itu.


sumber : utusan


Sudah 3 tahun punggung gatal

Soalan :
Saya ingin bertanya berkaitan masalah di punggung saya. Dulu, badan saya sering gatal-gatal sehingga seluruh badan, termasuk punggung.
Kegatalan ini meninggalkan masalah apabila meninggalkan kesan seperti kudis dan tidak hilang sejak hampir 3 tahun lalu. Ia turut meninggalkan parut hitam dan besar yang jelas kelihatan. Saya buntu mengenai masalah ini. Apakah puncanya?
AIZAT 
Kuching, Sarawak
Jawapan :
Anda menjelaskan terkena penyakit kulit dan kesudahannya kulit di punggung meninggalkan parut hitam yang besar.

Nampaknya anda tidak senang dengan keadaan kulit punggung anda yang hodoh. Anda sepatutnya jumpa doktor keluarga untuk menjalani pemeriksaan kulit punggung yang kelihatan hitam itu. 

Untuk saya menjelaskan apa yang ada di punggung anda memang mustahil kerana saya tidak tahu selagi tidak melihat dan memeriksanya. 

Inilah masalah kebanyakan orang kita. Ada masalah tapi tidak mahu jumpa doktor. 
Jika kulit yang bermasalah, kita jumpa doktor keluarga dulu dan jika tidak dapat diselesaikan, kes itu akan dirujuk kepada pakar sakit kulit. 

Saya mohon maaf kerana saya tidak dapat bantu anda dalam hal ini. Sebaik-baiknya, buang perasaan malu anda dan jumpa doktor dengan segera. Tanpa pemeriksaan, masalah anda tak dapat diselesaikan.
sumber: hmetro

Sindrom kekurangan hormon testosteron

Ketika remaja, saya dapati wujud perbezaan ketara mengenai saiz fizikal saya yang kelihatan kurang matang berbanding rakan lain.
Untuk pengetahuan doktor, saya kini berusia 22 tahun dan masih tidak mempunyai misai, suara lembut seperti perempuan, zakar tidak membesar, tiada bulu di zakar dan celah ketiak. 
Saya pernah ke klinik kesihatan dan berjumpa doktor yang kemudian memberi surat rujukan kepada pakar urologi di sebuah hospital sebelum dirujuk kepada hospital lain. Bermacam ujian saya jalani, termasuk diberi ubat serta suntikan. 

Pada peringkat awal, saya rasakan perbezaan apabila wujud perubahan suara, pertumbuhan bulu di zakar dan penambahan ketinggian.

Dos ubatan ditambah me­ngikut waktu dan membawa perubahan pada diri saya. Cuma, doktor yang merawat memaklumkan saya mungkin tidak mempunyai anak kerana saiz buah zakar kecil berbanding lelaki normal lain.

Mungkinkah saya memperoleh anak jika berkahwin kelak? Saya pernah melakukan onani dan air mani yang keluar pekat dan bercampur cair serta bertompok. 


JEPP 
Kota Samarahan, Sarawak
 

Berdasarkan keterangan anda, kemungkinan anda sebenarnya mengalami masalah sindrom kekurangan hormon testosteron atau hypogonadisme. Ini kerana buah zakar anda tidak dapat menghasilkan hormon testosteron kerana tidak berkembang. 

Buah zakar juga menghasilkan sperma. Jika buah zakar tidak berkembang atau tidak mengalami ketumbesaran, buah zakar anda yang tidak berkembang itu tidak dapat menghasilkan sperma kerana tiada kilang sperma. 

Air mani yang keluar ketika anda lakukan onani ialah cecair yang datang dari pundi prostat, pundi seminal dan semua cecair dihasilkan pundi aksesori anda seperti pundi Cowpers dan pepundi dalam salur kencing, tapi tiada sperma. 

Seperti yang doktor merawat anda nyatakan, anda mampu menunaikan tanggungjawab dari aspek memberi nafkah batin (melakukan seks dengan pasa­ngan) tapi tidak mempu­nyai sperma atau benih dalam air mani. 

Kes seperti ini kerap saya kendalikan membabitkan individu yang berumah tangga tetapi hidup aman damai, sejahtera dan mengambil anak angkat dari keluarga terdekat atau de bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Anda perlu teruskan rawatan dengan pengambilan terapi hormon testosteron sepanjang hayat. Kehidupan anda masih berguna dalam keluarga dan masyarakat dan anda perlu terima kenyataan ini dengan hati yang terbuka.
Sumber :hmetro

Jumpa doktor untuk tambah sperma

Saya berkahwin lebih setahun dan sehingga kini belum ada zuriat. Untuk pengetahuan doktor, saya wanita dan bekerja di sebuah makmal perubatan swasta.
Saya pernah menjalankan ujian sperma terhadap suami dan saya dapati spermanya sangat kurang selain air maninya sangat cair. Dalam satu ‘field’ hanya ada dua hingga tiga ekor saja dan itupun mati.
Adakah cara nak mengatasi masalah suami saya, umpamanya seperti makan vitamin atau ubat? Sebelum ini pernah cuba Vit Shaklee tapi tiada perubahan. 
AMYLIN 
Semenyih, Selangor

Apabila berkahwin, tentu kedua-dua mempelai menunggu waktu untuk menimang cahaya mata. 

Inisiatif untuk mencari punca atau sebab anda belum mencapai kehamilan itu memang baik. Anda dapat gunakan kemudahan yang ada pada anda untuk melakukan ujian air mani suami dan mendapati masalah benihnya. 

Namun anda tiada kemahiran untuk mengendalikan masalah kesuburan yang berada dalam bidang kawalan doktor. 

Anda dan pasangan sepatutnya berjumpa doktor menjalani pemeriksaan kesuburan. Jika anda mahu rujuk kepada pakar pun boleh dan itu mengikut kemahiran pakar itu. 

Jika suami anda jumpa doktor yang mengendalikan masalah kesuburan lelaki, tentu doktor itu akan melakukan pemeriksaan fizikal, memeriksa buah zakar suami dan jadualkan ujian air mani. 

Jika air maninya mempunyai profil benih yang tidak normal, doktor itu boleh lakukan ujian lanjutan terhadap suami anda, melakukan ujian darah untuk me-nyukat hormon FSH, Prolactin dan hormon Testosterone. Hanya selepas itu baru doktor akan memberi ubat sewajarnya. 

Namun, anda tidak berbuat begitu. Anda nak dia cuba suplemen tapi tidak berkesan. Jika anda meneliti maklumat dalam Internet mengenai kesuburan lelaki, anda akan dipaparkan pelbagai suplemen dan makanan. 

Itu bukan rawatan, itu hanya maklumat kesihatan yang mungkin boleh membantu. Makanan seperti kacang hazel, kacang badam, pecan, walnut, pista dan kacang tanah mengandungi asid lemak tambahan essential dan zat galian zink yang membantu penghasilan sperma sihat. 

Sama juga dengan asid folik yang membantu menstabilkan struktur baka sperma. Malah, anda akan dapati herba tertentu seperti Tribulus (Tribestan ) dan Tongkat Ali (Nu-Prep Lelaki) dapat membantu meningkatkan isi padu air mani, kualiti dan bilangan sperma. 

Jika suami anda sudah cuba suplemen dan amalkan makanan yang dijelaskan tadi dan dalam masa dua hingga tiga bulan tetapi tiada apa-apa perubahan, dia perlu berjumpa doktor. 

Mungkin masalah sperma suami anda ada kaitan dengan pekerjaannya atau amalan tidak sihat seperti merokok atau alkohol atau perkara lain. 

Banyak perkara boleh menyebabkan masalah sperma lelaki, tapi tanpa berjumpa doktor, memang sukar menyelesaikan masalah itu. 

Cadangkan suami berjumpa doktor dan anda juga perlu menjalani pemeriksaan sekali. Mana tahu jika anda juga ada masalah, lagi cepat dikendalikan lagi baik. Elok dua-dua pasangan menjalani pemeriksaan serentak.
Sumber:hmetro

Herpes jangkiti pasangan

Gelembung, ruam atau kudis boleh berlaku pada anggota kelamin lelaki yang biasanya muncul pada mana-mana bahagian, termasuk dekat pembukaan lubang kencing.
Baru-baru ini, seorang lelaki beritahu, dia me­ngalami kulit seakan-akan melecur pada hujung zakar dan kini meng­gelupas. Perkara ini merisaukannya walaupun selepas mendapat rawatan doktor. 
Kesan seakan-akan melecur mungkin jangkitan herpes dan biasanya kudis sebegitu mengambil masa untuk kering dan pulih. 

Jika jangkitan kuman atau kulat lain, tentu rawatan diberi doktor tidak berkesan. Namun, tindakan berjumpa doktor adalah tepat meskipun ragu-ragu dengan jawapan diberi.

Adakala doktor sukar mengenali penyakit sebenar kecuali melalui ujian tertentu. Jangkitan virus herpes boleh diketahui melalui ujian darah. Jika menghidapi jangkitan herpes, penyakit terbabit boleh menjangkiti pasangan.

Ia boleh diketahui jika pasangan mengalami perubahan sama seperti perubahan kulit yang menyebabkan kesakitan, kulit gelembung dan ruam. 

Setiap lelaki perlu ada sedikit sebanyak ilmu mengenai penyakit itu supaya tahu apa perlu dilakukan dalam keadaan tertentu. 

Kudis pada anggo­ta kelamin boleh muncul sebagai satu kudis atau berkumpul sebagai beberapa kudis di bahagian sama atau berdekatan. 

Ia boleh muncul seperti tanda kemerahan pada kulit atau kulit terasa sengal atau gatal dan kemudian menggelupas atau meng­gelembung. Jika kudis terkena air akan terasa sakit. 

Biasanya, kudis zakar dikaitkan dengan pelbagai jangkitan kuman, virus atau kulat penyakit kelamin kerana hubung kaitnya dengan hubungan kelamin. 

Jika kebetulan pesakit itu menghidapi jangkitan HIV, kesan jangkitan kulat serta kuman virus kepada kulit boleh menjadi lebih ketara dan lebih teruk. 

Namun, tidak semestinya semua kudis pada anggota kelamin akibat kuman penyakit kelamin. Jika kebetulan lelaki itu mengamalkan seks oral, mungkin gigitan pasangan boleh mencetuskan jangkitan daripada kuman dalam mulut. 

Kadangkala, alahan boleh mencetuskan reaksi kepada kulit zakar dan mengakibatkan kulit meng­gelembung. Jarang kudis terjadi akibat jangkitan penyakit tibi kulit dan kanser kulit.

Masalah kencing tak lawas

Dalam soalan itu, individu berkenaan memaklumkan sudah lama menghadapi masalah kencing tidak lawas. Katanya, beberapa titisan air kencing keluar setiap kali selesai membuang air kecil. 
Berdasarkan pengalaman saya, masalah kencing tidak lawas seperti dialaminya memang meruncing. Lebih-lebih lagi jika ia berlaku ketika seseorang mahu menunaikan solat, batuk atau ketawa. 

Biasanya, selepas selesai membuang air kecil, seseorang itu akan membasuh alat kelamin serta keluar tandas. Ada juga yang meneran sedikit atau melurutkan alat kelamin sambil mengemut beberapa kali supaya tiada bekas atau titisan kencing.

Individu yang was-was akan menunggu dan mengelap penghujung alat kelamin dengan tisu supaya tiada lagi kelembapan dan kemudian membasuhnya.

Keadaan ini biasanya dilakukan lelaki berumur untuk memastikan tiada titisan air kencing lagi selepas selesai kencing. Jika tidak berjaya, mereka akan melekatkan secebis kertas tisu ke penghujung alat kelamin sebelum bergerak. 

Sebilangan lelaki muda juga mengalami masalah sebegitu hingga menyebabkan mereka mati akal dan tidak tahu cara mengatasinya. 

Mungkin ada mencuba perkara yang saya jelaskan tadi dan mungkin mereka mahu cara lebih sempurna kerana titisan air kencing pasti menjadi masalah, terutama ketika mahu menunaikan solat. 

Cara mudah untuk lelaki yang mengalami masalah sebegini adalah mengelak membuang air kecil sebelum menunaikan solat. 

Sebenarnya, ada banyak sebab mengapa keadaan sedemikian boleh berlaku, antaranya berkemungkinan salur kencingnya sempit, sedikit air kencing mungkin tersekat dan terkeluar selepas selesai membuang air kecil. 

Ada kemungkinan jika pundi prostatnya mengalami radang atau bengkak di mana sedikit air kencing boleh tersekat di salur kencing bahagian prostat dan terkeluar apabila lelaki itu selesai kencing dan ketika dia mengemut. 

Ada juga sebilangan lelaki mempunyai takungan air kencing di belakang pembukaan salur kencing di tempat dikenali sebagai ‘lacuna mega’. Dalam keadaan sedemikian, air kencing mula bergerak keluar secara titisan selepas selesai membuang air kecil. 

Cara rawatan bagi masalah demikian adalah bertemu doktor untuk pemeriksaan kepastian sama ada seseorang itu menghadapi masalah kencing kotor atau radang pundi kencing atau masalah pundi prostat. 

Ujian lanjutan akan dilakukan doktor jika ada sesuatu yang perlu diselidik. Jika tiada apa-apa yang serius, cara mengelak solat terganggu ialah jangan buang air kecil sebelum solat.
Dipetik dari: harian metro